Thursday, 27 February 2014

70 Orang Islam Maut Dibunuh Anggota Militan

70 penduduk Islam dibunuh kejam

Carnot, Republik Afrika Tengah: Sekurang-kurangnya 70 orang Islam maut dibunuh anggota militan malah ada antara mereka diarahkan meniarap di atas tanah sebelum ditembak seorang demi seorang.
Perkara itu didedahkan semalam oleh paderi Katolik Rigobert Dolongo yang membantu mengebumikan mayat mangsa.
Menurutnya, militan dikenali sebagai antiBalaka itu membunuh orang Islam di perkampungan Guen awal bulan ini.
Katanya, sekurang-kurangnya 27 maut pada hari pertama manakala 43 lagi pada hari kedua.
Saksi Ibrahim Aboubakar, 22, berkata, kumpulan antiBalaka itu menyerang Guen dan membunuh dua abangnya selepas terdengar mereka bercakap dalam bahasa Arab.
“Petang itu mereka mengumpulkan puluhan orang yang diarahkan meniarap sebelum menembak mereka satu persatu,” katanya.
Dia kini mendapat perlindungan bersama 800 yang lain di sebuah gereja Katolik di Carnot, 100 kilometer (km) dari tempat kejadian.
Sekurang-kurangnya dua lagi keluarga turut mendapat perlindungan di gereja berkenaan termasuk Gisma Ahmed, 18, dan dua anak berusia tiga tahun dan empat bulan yang kini menjadi balu selepas kejadian itu.
Gisma hanya mampu menangis ketika ditanya mengenai kejadian itu, malah ahli keluarganya yang turut terselamat berkata suaminya ditembak ketika cuba melarikan diri.
Kebanyakan penduduk melarikan diri ke kawasan belukar dan perkampungan berhampiran.
Bagaimanapun, ratusan masih berada di Guen dan mendapat perlindungan di gereja serta rumah imam kampung itu.
Dua daripadanya yang berjaya dihubungi melalui telefon merayu petugas keamanan di Carnot menyelamatkan mereka.
Mereka yang enggan nama didedahkan turut mengesahkan kumpulan antiBalaka masih mengawal Guen.
Bagaimanapun, ketua petugas keselamatan tempatan berkata dia memerlukan izin pihak atasan di Bangui sebelum boleh menghulurkan bantuan.

No comments: