Penjara 5 Tahun Untuk DSAI
Hukuman ke atas DSAI ditangguhkan sehingga 11 pagi, Isnin ini |
Putrajaya: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.
Mahkamah kemudian membenarkan Anwar menangguhkan bayaran jaminan sebanyak RM10,000 hingga jam 11 pagi, Isnin ini.
Keputusan terhadap hukuman itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.
Terdahulu, Balia dalam keputusannya berkata, Hakim Mahkamah Tinggi gagal secara kritis memeriksa bukti oleh dua ahli kimia, Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon berhubung penyalah gunaan bukti sebagai sampel.
“Hakim perbicaraan tersalah tafsir apabila membuat kesimpulan terdapat salah guna terhadap plastik yang digunakan untuk menyimpan botol mengandungi sampel.
“Kami sudah meneliti keterangan pegawai penyiasat iaitu Superintendan Jude Blacious Pereira dan berpuas hati dengan keterangannya,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah mendapati dakwaan kacau ganggu bukti hanya kepada beg plastik, bukan kepada bukti di dalam botol itu.
Menurutnya, hakim perbicaraan juga terkhilaf dalam undang-undang apabila menerima bukti daripada pakar asing.
“Oleh itu, kami membenarkan rayuan pendakwaan dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi, responden (Anwar) didapati bersalah seperti pertuduhan,” katanya.
No comments:
Post a Comment